Wednesday, 9 March 2016

BOLA BULAT LA

Bola itu bulat (atau lebih tepat lagi bola itu berbentuk sfera). Dalam permainan bolasepak, apa sahaja keputusan boleh berlaku. Yang menang, akan terus menang. Yang kalah, akan terus kalah. Yang menang juga boleh kalah dan yang kalah juga boleh menang. Hampir tiada apa yang mustahil untuk mana-mana pasukan untuk mengecapi kemenangan ataupun kejayaan yang diidam-idamkan sekiranya benar-benar mahu berusaha ke arahnya. Keyakinan yang jitu sudah tentu akan banyak membantu untuk terus maju.

Walau sebesar mana atau sekecil mana pun kemungkinan yang ada, tiada siapa di dunia ini yang boleh menjangka mahupun menjamin 100% apakah kesudahan yang bakal berlaku di penghujung setiap permainan. Hatta, bagi sekalian bookie (penjudi atau penjaja pertaruhan) yang paling penipu sekalipun, keputusan perlawanan yang telah diatur itu juga masih tidak diketahui bagaimana sebenarnya peristiwa-peristiwa yang akan terjadi ketika berlangsungnya sesuatu perlawanan.

Mengimbau sejarah lampau

Permainan bolasepak atau yang seakan-akan dengannya sudah wujud sejak berkurun-kurun yang lalu, sejak tahun sebelum masihi lagi. Di Malaysia, sama seperti kebanyakan negara lain, orang-orang Inggerislah yang mula memperkenalkan bolasepak sehingga boleh menjadikannya sukan yang amat popular pada masakini. Permainan yang dimainkan secara berpasukan ini begitu popular sehingga malah boleh mengatasi minat anak-anak watan terhadap satu permainan tradisional dari zaman silam yang turut menggunakan sebiji bola yakni sepak raga (kini, sepak takraw). Entah bagaimana, bolasepak juga ada dikaitkan dengan 'Tragedi Karbala' (berlaku pada tahun 61 hijriah/680 masihi) yang sungguh menyayat hati dan tidak perlu diceritakan dengan lebih lanjut di sini. Seandainya bolasepak memang betul-betul merosakkan kepercayaan apabila dianggap meniru (menyerupai) orang-orang jahil, menggalakkan pendedahan aurat, membiasakan pergaulan bebas antara bukan mahram, dan hanya membuang masa, maka nasihat yang terbaik buat diri dan orang lain adalah: "Tinggalkanlah bolasepak". Tidak rugi apa pun rasanya kalau merasakan bolasepak tidak lagi seronok atau tidak berfaedah.

Beribu-ribu penyokong kelab Liverpool membuat protes
apabila harga tiket mahu dinaikkan kepada £77.
(gambar: thisisanfield.com)

Walau bagaimanapun, sekiranya pendekatan bersederhana boleh digunapakai, bolasepak boleh jadi ada juga kebaikannya jikalau keburukan-keburukannya boleh ditapis serta dibuang keluar. Selain para pemain (dan para pegawai) bolasepak profesional boleh mengisi periuk nasi untuk memberi nafkah kepada keluarga mereka, manusia sejagat juga mungkin boleh mempelajari tentang sesuatu, salah satunya semangat kesukanan. Sekadar mengambil contoh yang berlaku pada penghujung tahun 1990an, Ronaldo Luis Nazario de Lima atau "Ronaldo" dari Brazil (bukan Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro dari Portugal) disebut-sebut sebagai pengganti yang paling hampir dengan pemain lagenda Edson Arantes do Nascimento a.k.a.Pele. Selepas memenangi pingat johan dengan berada di bangku simpanan skuad kebangsaan Brazil dalam Piala Dunia 1994 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Ronaldo dilihat benar-benar mampu merealisasikan jangkaan orang ramai apabila beliau sendiri menjadi penyerang kesebelasan utama yang membawa pasukan Brazil mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 1998 di Perancis.

Namun apakan daya, takdir telah ditetapkan bahawa bukan Ronaldo yang muncul wira negaranya tetapi tanpa disangka-sangka Zinedine Zidane yang bingkas bangkit menghulurkan kejuaraan sulung buat negaranya tuan rumah Perancis. Ronaldo tidaklah gagal sepenuhnya apabila kemudiannya dapat juga menebus kehampaan. Di Piala Dunia 2002, Brazil dinobatkan sebagai juara dunia buat kali kelima dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir menentang pasukan Jerman yang diketuai oleh penjaga gol hebat, Oliver Kahn. Atas semangat kesukanan yang tinggi, Ronaldo menjaringkan kedua-dua gol tersebut walaupun sebelum bermulanya pertandingan beliau masih diselubungi kecederaan lutut yang agak serius. Bersara sepenuhnya pada tahun 2011, Ronaldo tidaklah seperti Pele tetapi beliau berjaya juga mencipta nama untuk dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment